Friday, November 7, 2008

cik et


Dato’ Hajjah Siti Nurhaliza Tarudin merupakan ikon negara Malaysia dalam bidang seni. Beliau bukan saja dikenali di negara ini malah telah menempa nama di peringkat nusantara apabila mengumpul jutaan peminat dari Singapura, Brunei dan juga Indonesia. Setelah lebih 10 tahun melibatkan diri dalam bidang seni, beliau juga sedang berusaha mengorak langkah yang lebih jauh untuk mengembangkan bakat semulajadi yang ada dalam diri beliau.
Nama beliau telah tercatat di dalam The Malaysia Book Of Records, Most Awards Won Artiste, sebagai artis yang paling banyak menerima anugerah sepanjang 13 tahun penglibatannya dalam dunia seni. Sehingga tahun 2008, lebih 100 anugerah telah diterima beliau. Selain anugerah dalam bidang seni, beliau turut menerima pengiktirafan pingat dari institusi Diraja iaitu, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan (SAP) dan (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ dari DYMM Sultan Pahang, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dari DYMM Sultan Perak dan Johan Setia Mahkota (JSM) dari Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Kejayaan demi kejayaan yang diraih telah meletakkan beliau pada kedudukan yang kukuh dalam industri hiburan tanahair. Justeru, beliau telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan syarikat sendiri iaitu Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) pada 12 Januari 1998, yang pada dasarnya bertindak sebagai agen rasmi yang akan menguruskan segala aktiviti seni beliau dengan lebih tersusun. Sekarang ini beliau telah melebarkan perniagaannya dengan penubuhan Siti Nurhaliza Marketing Sdn Bhd, Siti Nurhaliza Collections Sdn Bhd, SN Mobile Digital Sdn.Bhd dan Siti Sound Sdn Bhd.
Populariti dan imej sederhana yang ditampilkan oleh penyanyi kelahiran 11 Januari 1979 ini telah memberi pengalaman kepada beliau apabila terpilih sebagai duta atau jurucakap kepada badan kebajikan, persatuan dan juga produk. Antaranya ialah sebagai Duta Muhibah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Duta Tabung Yayasan JUSCO (With All Our Heart), jurucakap untuk Maybelline, Nippon Wiper Blade (NWB), BLEU, Pepsi, Telefon Mitsubishi Trium, TMnet Prepaid, Minolta D’iMAGE Malaysia, Samsung, Maxis, Olay dan Pantene. Beliau juga telah menubuhkan yayasan kebajikan bagi membantu golongan memerlukan bersama suaminya, Dato’ Seri Khalid Mohd Jiwa iaitu Yayasan Nurjiwa.
Sehingga tahun 2008 beliau telah merakamkan sebanyak 12 buah album penuh (pop komersial dan irama Malaysia) serta hampir 12 buah album kompilasi dan konsert.
Beliau telah mendirikan rumahtangga pada tahun 21 Ogos 2006 tetapi masih bergerak aktif dalam bidang seni walaupun tumpuan juga diberikan kepada rumahtangga. Walaupun mengatakan bahawa rumahtangga dan keluarga adalah keutamaannya sekarang tetapi beliau masih sayangkan bidang seni yang selama ini banyak memberikan pengalaman berharga kepadanya apatah lagi masih mendapat sokongan para peminat beliau
.

No comments: